Saya sendiri lupa bila tarikh sebenar saya membeli buku tulisan Wardina Safiyyah terbitan ALAF 21 yang dilancarkan beberapa bulan yang lepas. Buku berkisar tentang pengalaman penulis sendiri dalam memberikan makanan berkhasiat untuk anak-anaknya. Saya berasa saya perlukan buku ini untuk panduan saya memilih makanan yang berkhasiat untuk dimakan oleh anak-anak saya sendiri sejak saya berhenti kerja untuk menguruskan anak-anak dirumah. Bagi saya memilih makanan harian bernutrisi adalah sangat mencabar. Menukar menu yang pelbagai setiap hari juga adalah cabaran! Terutama apabila saya mempunyai masalah anak tak mahu makan. Hari-hari saya bergaduh dengan anak untuk memberinya makanan. Hampir hari-hari mengeluh pada suami betapa letihnya mengurus rumah, mengurus anak-anak, memasak makanan anak-anak.. semuanya berkisar tentang anak-anak. Bagi saya, apabila pemakanan anak-anak lengkap & seimbang, perkembangan dan aktiviti hariannya juga akan berjalan lancar tanpa mengamuk atau buat hal setelah perutnya diisi.
Buku ini sedikit sebanyak membantu saya untuk melakukan perancangan dalam memasak makanan anak-anak terutama sekali untuk anak saya yang kecik yang baru berumur 6 bulan. Tentu sekali ini kali pertama saya memasak makanan bayi untuk anak-anak saya. Selain daripada itu, grafiknya amat menarik sekali bersama isi dalam yang padat informasi. Tahniah kepada Wardina kerana berjaya menghasilkan sebuah buku yang mengajar pembaca untuk mengimbangkan makanan anak-anak. Tentu sekali berharga kepada saya yang sukar mengajar anak makan makanan seimbang terutama sekali sayur!
Di dalam buku yang padat ini juga diselitkan sedikit sebanyak resepi untuk kanak-kanak dipelbagai peringkat. Status Wardina sebagai selebriti memberi kelebihan pada beliau untuk memperkembangkan lagi bakat sebagai penulis buku juga berdasarkan pengalaman menjadi ibu kepada 3 orang anak ditambah sebagai duta produk kesihatan menjadikan beliau ikon kepada ibu bapa.
Azam saya? Berusahalah menjadi ibu yang lebih baik dalam memberikan makanan sihat kepada anak-anak saya. Hanya berikan anak-anak makanan yang terbaik!
No comments:
Post a Comment